Pengalaman selaku relawan dorong lulusan NIE mahu jadiguru cemerlang
Becoming a teacher requires more than interest; it demands strong mental fortitude and high motivation. Ms Nur Imanina Juraimi, a graduate of the National Institute of Education (NIE), believes that education is for serving the community. Her experience as a volunteer inspired her to become a teacher. She uses creative and empathetic approaches in teaching, adapting methods to meet the diverse needs of students.
Untuk menjadi seorang guru bukan mudah.
Minat sahaja tidak mencukupi untuk menjadi guru cemerlang.
Ia memerlukan kekuatan mental yang kental dan motivasi tahap tinggi.
Demikian dinyatakan oleh lulusan Institut Pendidikan Nasional (NIE), Cik Nur Imanina Juraimi, yang baru memulakan kerjaya sebagai guru.
Beliau percaya adalah perlu menggunakan kuasa pengetahuan dan pendidikan untuk berbakti kepada masyarakat.
“Moto hidup saya. Hidup hanya sekali, maka manfaatkan masa dengan menyumbang semula kepada masyarakat,” kongsi beliau.
Hasrat Cik Nur Imanina, 23 tahun, untuk mengajar timbul sebelum beliau ke universiti.
Ia diraih melalui pengalaman beliau sebagai seorang sukarelawan.
Semasa di Maktab Rendah Nanyang, beliau terlibat dalam Projek Reben Kuning. Melaluinya, beliau mempelajari rasa kesal bekas pesalah termasuk mengenai pilihan pendidikan mereka.
“Mendengar kisah mereka membuat saya sedar peri pentingnya pendidikan,” jelas beliau.
Semasa menjadi sukarelawan di THK Nursing Home @ Hougang, beliau menyaksikan semangat tidak berbelah bagi warga emas yang masih ingin menimba ilmu walaupun berusia, kerana sedar tentang pentingnya pembelajaran sepanjang hayat.
Menurut Cik Imanina, pada mulanya beliau ingin bekerja dalam bidang kewangan.
Namun, selepas melalui pengalaman sebagai sukarelawan, beliau berasa sektor pendidikan lebih bermakna.
Semangat relawan itu kekal walaupun beliau sudah mengajar di Sekolah Rendah Northshore.
Sejak 2023, beliau secara aktif menjadi sukarelawan program kidsREAD.
Ia merupakan satu inisiatif kebangsaan yang memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak kurang bernasib baik dan berumur empat hingga lapan tahun.
Melalui program itu, beliau didedahkan kepada kesukaran membaca dan pelbagai persekitaran rumah kanak-kanak itu. Ia sekali gus meluaskan perspektifnya sebagai guru.
“Saya dapat lihat bahawa pelajar ini bukan tidak minat membaca, kadangkala persekitaran mereka juga memainkan peranan,” jelas Cik Imanina.
Hasil pengalaman itu, Cik Imanina menjadi lebih peka akan keperluan pelajar berbeza.
“Setiap guru mempunyai falsafah pengajaran tersendiri. Bagi saya, falsafah saya adalah untuk meningkatkan cinta pelajar saya terhadap pelajaran,” kongsi beliau.
Beliau akan membentuk kumpulan pelajar berdasarkan kekuatan mereka dan menyesuaikan soalan mengikut tahap.
Beliau turut menyiapkan kegiatan di kelas berdasarkan minat pelajar.
“Saya mempunyai kelas yang sangat suka dengan Pokemon. Saya gunakan Internet untuk mengetahui lebih lanjut tentang Pokemon, dan saya menyediakan soalannya untuk mereka,” kongsi Cik Imanina.
Beliau memasukkan juga unsur permainan dalam pengajarannya, menggunakan konsep permainan, Snake & Ladders, untuk menyediakan mereka untuk ujian lisan.
Cik Imanina juga menghabiskan masa di luar kelas untuk mengenali pelajarnya dengan lebih mendalam.
“Saya punyai pelajar yang kurang motivasi. Untuk mengatasi masalah ini, saya akan cuba habiskan masa di luar kelas, misalnya semasa waktu rehat, untuk mengenali mereka agar saya dapat membangkitkan semangat mereka semula,” jelasnya.
Kini, beliau sedang mempelajari bahasa isyarat selepas menyaksikan seorang guru menggunakannya semasa kelas, walaupun guru berkenaan tidak mempunyai pelajar yang memerlukannya.
Inisiatif guru tersebut membuat Cik Imanina melihat kepentingan pendekatan kecil tetapi berkesan bagi memupuk penglibatan dan pelbagai keperluan dalam persekitaran pembelajaran.
Pengalamannya secara kolektif memperkukuhkan komitmen Cik Imanina untuk menjadi guru yang memupuk sifat ingin tahu pelajarnya dan memperkasakan mereka untuk mencapai potensi penuh.
Beliau mahu para pelajarnya tahu bahawa beliau sentiasa menyokong mereka dan apa jua yang dilakukan adalah dengan niat baik, demi masa depan mereka.
Read the original article here.
Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction.