Published on 14 Mar 2024

Hady hargai peluang kongsi pengalaman perkasa bahasa Melayu

Hady Mirza, despite not pursuing higher education, shared his entertainment industry experiences with student teachers from NIE's Malay Language department. The session aimed to broaden understanding of Malay language usage beyond the classroom, exploring its role in entertainment. Dr. Roszalina Rawi, in a letter of thanks, highlighted the module's purpose: to showcase Malay language dynamics in various domains. Hady reflected on his struggles with Malay fluency during his Singapore Idol days but noted improvement through his career and marriage. He expressed hope that his insights would benefit NIE student teachers in promoting effective Malay language usage among youth.

Meskipun tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke menara gading, Hady Mirza berbesar hati dapat berkongsi pengalamannya dengan guru pelatih dari Institut Pendidikan Nasional (NIE) yang sedang melengkapkan pengajian ijazah Bahasa Melayu mereka.

Pada 28 Februari, Hady berkongsi hantaran Instagram yang memuatnaikkan surat tanda terima kasih daripada pensyarah Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu NIE, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Roszalina Rawi.

Dalam surat tersebut, Dr Roszalina menjelaskan tentang tujuan modul, ‘Bahasa Melayu Dalam Konteks’ iaitu membuka mata guru pelatih bahawa bahasa Melayu boleh hidup di luar bilik darjah.

Antara yang dikupas ialah bagaimana pengguna bahasa Melayu dalam domain yang berbeza seperti hiburan membentuk dan menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi secara berkesan dan apakah fungsi bahasa Melayu bagi seorang seniman.

Hady juga diminta berkongsi tentang cabaran yang dihadapi, baik dari segi lisan atau tulisan dalam penggunaan bahasa Melayu ketika berseni.

Mengulas pengalaman berharga itu ketika ditemui Berita Harian (BH) di Wisma Geylang Serai (WGS) baru-baru ini, Hady berkata:

“Mereka menjemput saya agar berkongsi pengalaman saya sebagai seorang penghibur yang banyak terlibat dalam acara hiburan di Malaysia. Walaupun tidak dijanjikan sebarang ganjaran wang, saya berbesar hati untuk meluangkan masa bagi sesi perkongsian tersebut.”

Hady akur sukar bertutur dalam bahasa Melayu yang lancar sewaktu diwawancara selepas dinobatkan sebagai juara Singapore Idol (Musim Kedua).

“Sewaktu zaman Singapore Idol dahulu, saya memang kekok berbahasa Melayu.

“Apatah lagi sewaktu diminta berbahasa baku. Dahlah tidak fasih, terus dikehendaki bertutur dalam bahasa baku pula. Sememangnya, hal tersebut merupakan satu cabaran besar yang perlu saya atasi.

“Namun, selepas berkecimpung dalam dunia hiburan di Malaysia, di samping berumah tangga pula dengan seorang warga Johor, saya kini boleh berbangga dapat berinteraksi dalam bahasa Melayu dengan fasih.

“Melalui perkongsian tersebut, saya harap guru pelatih NIE dapat meraih manfaat dalam memupuk serta melestarikan penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan generasi muda kita hari ini,” katanya. – NUR ‘AQILAH SYIFA’

“Mereka menjemput saya agar berkongsi pengalaman saya sebagai seorang penghibur yang banyak terlibat dalam acara hiburan di Malaysia. ... Melalui perkongsian tersebut, saya harap guru pelatih NIE dapat meraih manfaat dalam memupuk serta melestarikan penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan generasi muda kita hari ini.”
Hady Mirza.

Media coverage