Published on 01 Feb 2022

Kembali menulis agar anak-anak fasih berbahasa Melayu

Writing great children's literature is no easy feat, said MDM Fadhilah  Muhammad, a trainer in early childhood education, who published her first children's storybook. She endeavors to encourage reading in mother tongue language among the younger children and enhance their ability and love towards the said language. This is one of the reasons why Mdm Fadhillah Muhammad has enlisted the help of A/P Roksana Bibi Binti Abdullah from Asian languages and Cultures to assess the linguistic aspects of the book to ensure the content is in line with the target audience language ability.

The author feels very fortunate to have enlisted the help of A/P Roksana, who had contributed to the suitability of word choice pegged at the target audience and the correct type of sentences for clarity and easy understanding among the readers.

Besides that, Mdm Fadhillah obtained the guidance of Mrs. Norlin Samat, author of the bilingual book series (Ally Adventures), for the publication of her  book; Apakah Itu? 

CIK Fadhilah Muhamad sudah lama berkecimpung dalam bidang penulisan, khususnya cerpen dan komik. Hasil penulisannya sering tersiar di Berita Harian/Minggu.

Malah, beliau menerima Anugerah Persuratan (Hadiah Penghargaan) bagi cerpen bertajuk 'Ada apa pada nama' terbitan BH.

Namun, beliau berhenti menulis kerana sibuk menguruskan kerjaya dan keluarga, hingga timbul peluang menghasilkan buku terbarunya, 'Apakah itu? Di Pantai'.

Jurulatih bebas pendidikan awal kanak-kanak ini berkata: "Saya mendapat inspirasi melalui pengalaman sebagai guru prasekolah dan ibu tiga anak lelaki.

"Mereka bertiga kurang fasih bercakap dalam bahasa Melayu. Bertitik tolak daripada keprihatinan itu, saya rasa sesuatu perlu dilakukan.

"Memandangkan saya juga berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, maka saya manfaatkan ilmu itu untuk menghasilkan buku 'Apakah itu? Di Pantai'.

"Buku itu bertujuan memperkenal kosa kata baru kepada kanak-kanak mengikut konteks cerita yang dekat pada diri mereka. Buku ini disusun atur untuk membolehkan kanak-kanak membaca dan terlibat sama dengan watak-watak dalam cerita."

Melalui keterlibatan itu, ibu bapa dan kanak-kanak dapat berinteraksi dengan menggunakan bahasa Melayu, ujarnya.

"Dengan interaksi itu, diharapkan kefasihan berbahasa Melayu semakin meningkat dan hubungan kekeluargaan juga semakin rapat," kata Cik Fadhilah.

Beliau berasa amat beruntung kerana Profesor Madya Roksana Bibi Abdullah, pensyarah di bawah Kumpulan Akademik Bahasa dan Kebudayaan Asia Institut Pendidikan Nasional (NIE) Universiti Teknologi Nanyang (NTU), sudi menyemak dan memastikan bahasa yang digunakannya sesuai bagi kanak-kanak.

Berkat bimbingan Cik Norlin Samat, penulis buku bersiri dwibahasa 'Pengembaraan Ally' (Ally' Adventures), maka terhasillah sesuatu yang bukan berfungsi sebagai buku cerita dan menambah kosa kata kanak-kanak sahaja, bahkan pencetus perbualan, perangsang kreativiti serta penggalak pembacaan, ujar Cik Fadhilah.

Lulusan diploma pendidikan awal kanak-Kanak daripada Institut SEED dan diploma intervensi awal (keperluan khas) dari Politeknik Ngee Ann ini berkata buku itu dapat merangsang minda kreativiti kanak-kanak.

"Pembacaan buku ini menimbulkan peluang kepada ibu bapa dan anak-anak berinteraksi menggunakan bahasa Melayu. Daripada tajuk sehinggalah reka bentuk buku serta susun atur kandungan cerita dirancang dengan teliti.

"Buku ini bersandarkan prinsip pembelajaran melalui pelibatan. Dalam konteks terkini, kita tahu bahawa kanak-kanak lebih berminat bermain dengan alat elektronik. Salah satu sebabnya ialah alat elektronik bersifat interaktif dan kanak-kanak tersebut terlibat dalam menentukan hala tuju permainan dan bukanlah sebagai pengguna pasif.

"Maka, buku ini mempunyai elemen-elemen interaktif yang memerlukan pelibatan pembaca. Elemen-elemen itu diwujudkan dalam bentuk soalan-soalan, pagar sesat dan lain-lain.

Setiap ilustrasi dibincang dan dirancang teliti. Sebenarnya, nilai buku ini melebihi daripada sebuah cerita berkenaan lawatan sebuah keluarga ke pantai.

"Latar cerita ini juga suatu yang menarik kerana kita semua, khususnya yang berkeluarga, sering membawa anak-anak ke pantai East Coast.

"Sudah tentu, ramai yang berkongsi pengalaman serupa dengan perkara yang saya paparkan dalam cerita tersebut," kata Cik Fadhilah, 38 tahun.

Acara prapelancaran buku dalam talian terbitan Poppet pada bulan lalu itu turut menerima sambutan hangat daripada kanak-kanak dan ibu bapa.

Cik Fadhilah menerima banyak kata-kata rangsangan dan ucapan tahniah melalui Instagram@buddingbilinguals dan @fadhilah_muhd.

Pelancaran rasmi buku bersiri 'Apakah itu?' akan diadakan pada suku kedua tahun ini. Pada masa itu, tajuk kedua - 'Apakah itu? Di Ladang Haiwan' - bakal dilancarkan sekali. Butiran lanjut akan dikongsi olehnya di Instagram @buddingbilinguals dan @fadhilah_muhd.

"Saya mengharapkan sokongan masyarakat dan semoga buku ini dapat menarik minat lebih ramai kanak-kanak serta ibu bapa untuk membaca buku bahasa Melayu.

"Dengan adanya buku interaktif sebegini, ibu bapa boleh berusaha menerapkan rutin membaca bersama anak-anak setiap hari.

" Akhir sekali, impian saya ialah koleksi buku bersiri ini menjadi pilihan setiap kanak-kanak dan ibu bapa, serta dijadikan bahan mengajar di sekolah-sekolah," ujar Cik Fadhilah. - LAPORAN BH

Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction.