Sasterawan Jamal Ismail terima Anugerah Tun Seri Lanang
Berita Harian featured the recent 2023 Literature Awards recent. Mr Muhammad Khairool Haque Abdul Kadir, a writer and student at NIE won the Anugerah Harapan for his poetry in his book entitled Anak Waktu Belajar Diam. He shared that his inspiration to write comes from reading a lot, reflecting on events and observing the people around him.
Tokoh sastera Melayu mapan, Encik Jamal Ismail, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tun Seri Lanang – anugerah paling berprestij persuratan Melayu Singapura – di majlis Anugerah Persuratan 2023 pada Sabtu.
Penulis cerpen dan novel berusia 71 tahun itu turut membawa pulang Hadiah Persuratan dalam kategori novel bagi bukunya yang berjudul Mustafa: Epik Kerohanian Seorang Kiai.
Encik Jamal, yang sudah berkecimpung dalam bidang penulisan selama lebih lima dekad, melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam perjalanannya.
“Anugerah ini adalah pengiktirafan yang besar, dan ia bukanlah hanya milik saya, tetapi milik kita semua yang telah bersama-sama membentuk gerakan persuratan baru yang lebih progresif dan relevan bagi semua.
“Pertama-tama, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang sebesar-besarnya kepada keluarga saya. Mereka adalah sumber kekuatan, sokongan dan inspirasi saya,” kata beliau.
Encik Jamal turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan pejuangnya dalam gerakan persuratan.
“Bersama kita telah bekerja keras untuk menggerakkan perubahan dalam dunia kesusasteraan Singapura. Kita telah berusaha bersama untuk menjadi ‘khairu ummah’, dalam konteks ini, membentuk sebuah komuniti yang bersatu dalam visi untuk mencapai kebaikan kolektif,” kata beliau.
Selain bidang penulisan, Encik Jamal juga aktif dalam bidang penyiaran sebagai penulis skrip televisyen, sutradara, penerbit eksekutif dan penerbit rancangan drama dan dokumentari.
Antaranya, beliau pengarah drama Bara yang mengisahkan tentang kehidupan sekumpulan remaja di politeknik – antara drama Melayu tempatan yang popular dan masih diingati ramai hingga ke hari ini.
Anugerah lain yang pernah diterima beliau termasuk Anugerah Loheh Noor dari Kementerian Penerangan Republik Islam Iran pada 1997 bagi dokumentari Islam.
Di seberang Tambak, antara lain, telefilem Ilham Suci pimpinannya pada 2005 berjaya menjadi finalis Anugerah Skrin TV3.
Anugerah Persuratan 2023, satu acara dwitahunan anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), mengiktiraf penulis tempatan dalam bidang persuratan Melayu. Ia juga bertujuan untuk menggalakkan penerbitan karya bermutu, serta memasyarakatkan bidang persuratan.
Tahun ini, acara diadakan di Muzium Tamadun Asia (ACM), dengan majlis diserikan kehadiran tetamu terhormat, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo.
Turut hadir ialah Encik Mohd Fahmi Aliman, pengerusi MBMS, dan Dr Azhar Ibrahim, pengerusi Jawatankuasa Persuratan MBMS, yang juga merupakan ketua penilai bagi Anugerah Persuratan.
Sementara itu, Encik Muhammad Khairool Haque Abdul Kadir, seorang penulis dan penuntut di Institut Pendidikan Nasional (NIE), pula dipilih sebagai penerima Anugerah Harapan.
Jejaka berusia 31 tahun itu juga menerima Hadiah Persuratan bagi kategori sajak untuk bukunya bertajuk Anak Waktu Belajar Diam.
Encik Khairool menceritakan bahawa minatnya dalam bidang penulisan berputik di bangku sekolah menengah setelah beliau dihantar menyertai bengkel-bengkel menulis.
Di samping itu, beliau sendiri bertemu dan mendapat pementoran dari penulis mapan tempatan, antaranya Encik Isa Kamari.
Seawal usia 17 tahun, Encik Khairool telah menerima anugerah bagi kategori sajak untuk Golden Point Award 2009 dan pada 2021 pula, dilantik sebagai Sahabat Sastera oleh MBMS.
“Ilham saya untuk menulis datang daripada kerana banyak membaca dan juga daripada renungan peristiwa dan pengamatan terhadap manusia di sekeliling.
“Contohnya, saya lihat remaja zaman sekarang vokal dan mahu suara mereka didengar. Tetapi ada satu sisi di mana remaja harus tahu bila harus senyap. Sisi tersebut menghasilkan buku saya bertajuk Anak Waktu Belajar Diam,” kata beliau.
Dua penulis lain turut menerima Hadiah Persuratan – Encik Farihan Bahron bagi cerpennya berjudul Kepala Kotak, dan Cik Raudhah Alias bagi karya sastera kanak-kanak bertajuk Feri Menjaga Kelestarian Laut.
Untuk edisi anugerah kali ini, Hadiah Penghargaan turut diberikan kepada dua penulis dalam usaha menggalak mereka terus berkarya dan menghantarkan karya-karya mereka untuk dinilai.
Mereka ialah Encik Anwar Hadi Ramli bagi drama untuk pentas, RASAlah, dan Cik City Mazita Maswadi bagi esei/kajian sastera berjudul Jervoisku Meniti Masa.
Berucap di majlis, Dr Azhar berkata karya-karya yang dianugerahkan tidak harus berhenti setakat pada kejayaan meraih penganugerahan, malah harus difikirkan cara untuk dapat terus mengetengahkan karya yang sudah diiktiraf, termasuk penulisnya.
“Antara yang wajar direncanakan ialah mengatur program para penulis yang unggul tampil berbicara dalam forum wacana, bukan saja membicarakan sastera tetapi bergiat aktif dalam berbicara tentang dunia sastera, budaya, seni dan warisan.
“Hanya dengan itu, penyandang hadiah Anugerah Persuratan akan benar-benar hadir dengan bermakna dalam dunia persuratan kita,” kata beliau.
SENARAI PENERIMA ANUGERAH DI ANUGERAH PERSURATAN 2023
Anugerah Tun Seri Lanang: Encik Jamal Ismail
Anugerah Harapan: Encik Muhammad Khairool Haque Abdul Kadir
Hadiah Persuratan: Encik Farihan Bahron (cerpen Kepala Kotak)
Hadiah Persuratan: Encik Jamal Ismail (novel Mustafa: Epik Kerohanian Seorang Kiai)
Hadiah Persuratan: Encik Muhammad Khairool Haque (sajak Anak Waktu Belajar Diam)
Hadiah Persuratan: Cik Raudhah Alias (sastera kanak-kanak Feri Menjaga Kelestarian Laut)
Hadiah Penghargaan: Encik Anwar Hadi Ramli (drama (untuk pentas) RASAlah)
Hadiah Penghargaan: Cik City Mazita Maswadi (esei/kajian sastera Jervoisku Meniti Masa)