Published on 12 Mar 2024

Usaha NTU Perbayu suntik minat bahasa Melayu bagi pelajar sekolah

During the 2024 Cross Country event at the National Institute of Education, primary and secondary school students engaged in Malay culture and language immersion activities. Organized by Rantas Pantas, affiliated with Nanyang Technological University Malay Language and Culture Association and NIE, the event on 2 and 9 March aimed to instill love for Malay language and culture. Themed 'Crossing Time, Empowering Knowledge,' it involved 80 students from seven primary and nine secondary schools. Through games and activities, it aimed at intellectual empowerment regarding Malay culture and heritage. Praised by educators like Ms. Murni Redzwan, it's seen as vital for promoting Malay culture to the younger generation.

Pelajar sekolah rendah dan menengah menyelami budaya dan bahasa Melayu melalui program dan kegiatan semasa acara Rentas Pantas 2024 baru-baru ini.

Acara itu diadakan di Institut Pendidikan Nasional (NIE) pada 2 Mac untuk murid sekolah rendah dan 9 Mac bagi pelajar sekolah menengah. 

Rentas Pantas merupakan kumpulan ad hoc di bawah naungan Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Melayu Universiti Teknologi Nanyang dan Institut Pendidikan Kebangsaan (Perbayu NTU/NIE).

Acara tahunan itu bertujuan memupuk rasa cinta dan minat terhadap bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Ketua Rentas Pantas 2024, Cik Thyra Juhari, berkongsi dengan Berita Harian (BH) bahawa seramai 80 pelajar dari tujuh sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah menyertai acara tersebut yang bertemakan ‘Merentas Waktu, Memperkasa Ilmu’ yang menggalakkan penerokaan merentasi pelbagai tempoh sambil menyelidiki legenda Melayu popular dan kepentingannya dalam budaya Melayu.


Ia juga menekankan pemerkasaan ilmu dengan memperkukuh keupayaan intelek tentang budaya dan warisan Melayu melalui permainan dan kegiatan yang menyeronokkan.

“Misi kami adalah untuk mengadakan program dan aktiviti khas yang dapat memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar menggunakan kaedah pembelajaran melalui permainan,” kongsi Cik Thyra yang berterima kasih terhadap 22 ahli jawatankuasa yang lain serta 40 sukarelawan yang telah menjayakan acara itu.

Guru Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Cik Murni Redzwan, yang turut serta memuji daya usaha serupa itu yang wajar diberikan sokongan sepenuhnya.

Beliau berkata: “Inisiatif dan acara seperti Rentas Pantas memainkan peranan yang sangat besar dalam mempromosikan Bahasa dan Budaya Melayu terutama sekali kepada generasi muda.

“Bukan sahaja murid-murid saya dapat berseronok sambil belajar tentang bahasa dan budaya Melayu bahkan mereka diperkenalkan kepada watak-watak legenda Melayu dan mengulang kaji tatabahasa seperti penjodoh bilangan, peribahasa, kosa kata dan banyak lagi.”

Setiap tahun, Rentas Pantas akan mengadakan sebuah acara gah berkonsep, ‘Amazing Race’ dengan pelajar akan dapat menyelami budaya dan bahasa Melayu menerusi stesen-stesen permainan tertentu dengan lebih mendalam. – BATRISYIA BAHARIM

Read the original article here.

Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction. 

Media coverage