Published on 06 Oct 2022

Guru Penyayang mahu terus bimbing pelajar berjaya di masa depan

Berita Harian featured Mdm Zubaidah Ahmat, one of four teachers who received a National Level Award from 2M at the Caring Teacher Award (CTA) 2022 Presentation Ceremony on 27/9. In the interview, Mdm Zubaidah said that she worked with her colleagues to ensure the holistic development of all her students. Even though she has been teaching for 23 years, she still enjoys doing her job because she gets great satisfaction in seeing her students succeed.

SEBAGAI seorang guru yang telah berkecimpung dalam kerjayanya selama lebih dua dekad, Cik Zubaidah Ahmat, 46 tahun, telah menghadapi pelbagai cabaran dalam pekerjaan hariannya.

Namun, satu cabaran yang paling sukar dalam kerjayanya adalah apabila seorang pelajarnya yang bersikap introvert, iaitu suka memendam rasa dan tidak suka bergaul dalam masyarakat, enggan bersuara di dalam kelas.

Dengan secara tidak langsung, pelajar itu mula menunjukkan perasaan dendam terhadapnya kerana merasakan beliau memaksanya untuk bercakap di dalam kelas.

Mengimbas kembali mengenai cabaran itu, Cik Zubaidah, yang mengajar di Sekolah Rendah Holy Innocents', menyatakan peristiwa itu amat sukar dilupakan dan ia juga mengajarnya bahawa ketekunan adalah kunci untuk menangani cabaran sedemikian.

Cik Zubaidah kekal tabah dan meluangkan masa di luar kelas untuk membangunkan hubungan dengan pelajar itu dan juga membantunya membina keyakinan diri.

Usahanya berbaloi apabila pelajar tersebut berdiri dan melakukan penyampaian dengan yakin di hadapan kelas.

"Bagi saya, ia merupakan detik yang tidak dapat dilupakan apabila saya melihatnya tersenyum lebar apabila rakan-rakannya memberikan tepukan gemuruh.

"Bagi ramai orang, ini mungkin sesuatu yang kecil atau tidak penting, tetapi bagi pelajar itu dan juga saya sendiri, ia adalah satu pencapaian yang besar," ujar beliau, yang mengajar Bahasa Inggeris dan Pengajian Sosial.

Selasa lalu, Cik Zubaidah merupakan antara empat guru yang diberikan Anugerah Peringkat Kebangsaan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Guru Penyayang (CTA) 2022.

Ketika ditemui, beliau berkata beliau juga bekerjasama dengan rakan-rakan sekerja untuk memastikan pembangunan holistik pelajar dan sering kali mengambil tahu jika mereka mempunyai masalah keluarga atau isu-isu dengan rakan sebaya.

Bagi Cik Zubaidah, setiap pelajar adalah penting.

Walaupun telah berkecimpung dalam bidang perguruan selama 23 tahun, beliau masih seronok melakukan pekerjaannya kerana beliau mendapatkan kepuasan yang besar apabila melihat para pelajarnya berjaya.

"Ganjaran terbesar bagi saya adalah melihat mereka berjaya walaupun harus menempuhi pelbagai cabaran," kata beliau, yang memanfaatkan teknologi dan pelbagai aktiviti pembelajaran untuk mereka bentuk pakej pelajaran yang berbeza berdasarkan keperluan pelajar.

Cik Zubaidah menerima anugerahnya dari Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar).

Acara itu dianjurkan Institut Pendidikan Nasional Universiti Teknologi Nanyang (NIE NTU) dengan kerjasama ExxonMobil Asia Pacific Pte Ltd. Ia diadakan di Sekolah Tinggi NUS bagi Matematik dan Sains.

Bagi guru Sekolah Menengah Boon Lay, Cik Nor Faatihah Haron, 35 tahun, yang juga dianugerahkan Anugerah Peringkat Kebangsaan, beliau percaya bahawa mengajar adalah satu kerjaya yang dilakukan dari hati dan keikhlasan adalah kunci utama kerana para pelajar akan tahu sejauh mana keikhlasan seorang guru itu melalui tindakan mereka.

"Keikhlasan bermakna kita harus melakukan yang terbaik untuk membangunkan kekuatan para pelajar dan meraikan kemajuan mereka di setiap peluang yang ada," ujar guru Bahasa Melayu itu.

Kini, Cik Nor Faatihah berharap beliau dapat terus menjadi pencetus dan pemangkin kepada perubahan yang positif dalam kehidupan orang lain.

"Saya harap saya dapat memupuk sikap penyantun kepada para pelajar saya, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan situasi-situasi yang mencabar dalam perjalanan saya sebagai seorang pendidik," kata beliau yang telah mengajar selama lebih 10 tahun.


ANUGERAH GURU PENYAYANG (CTA) 2022

Tahun ini, 10 guru diberi penghargaan CTA ke-14 anjuran Institut Pendidikan Nasional-Universiti Teknologi Nanyang (NIE-NTU) dengan kerjasama ExxonMobil Asia Pacific Pte Ltd.

Empat daripada mereka disampaikan Anugerah Peringkat Kebangsaan dan enam Anugerah Kepujian Negara kerana berusaha sedaya upaya mencontohi dan menunjukkan sifat, nilai dan tindakan yang menyentuh kehidupan pelajar dan rakan sekerja mereka.

Pemenang CTA tahun ini terdiri daripada lima pendidik dari sekolah rendah, tiga sekolah menengah dan dua maktab rendah atau institut berpusat.

CTA, yang kali pertama disampaikan pada 1996, bertujuan mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada guru yang memberi mencontoh nilai penyayang, perkongsian dan keprihatinan terhadap kebajikan akademik, moral, sosial, emosi dan mental pelajar.

Lebih 11,000 pencalonan daripada 239 sekolah dikemuka tahun ini - hampir dua kali ganda jumlah pada 2020, iaitu sekitar 6,000 calon dari 225 sekolah.

Setiap sekolah boleh mengemukakan hingga lima pencalonan, tetapi hanya pencalonan cemerlang bagi anugerah peringkat nasional akan dipilih.

Calon anugerah peringkat nasional ditemu duga bagi pengiktirafan Anugerah Peringkat Kebangsaan. Calon cemerlang lain diiktiraf sebagai pemenang Anugerah Kepujian Kebangsaan.

Read the original article here.

Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction