Published on 14 Sep 2023

Hadijah Rahmat dilantik Profesor Madya Emeritus NTU

Berita Harian congratulated Associate Professor Hadijah Rahmat on her appointment as a Emeritus Associate Professor by Nanyang Technological University (NTU) in recognition of her scholarship and service. She formerly led the Asian Language & Culture Academic Group at the National Institute of Education/Nanyang Technological University and received the Jauhari Berita Harian (BH) Award in 2022. The appointment acknowledges her achievements as a leading scholar in Malay-Indonesian Studies and her contributions as head of the ALC AG from 2018 to 2022. Emeritus Associate Professor Hadijah expressed her surprise at the appointment and emphasized that awards and titles were not her primary goal. She hopes to mentor and guide other professors and continue his work with students and scholars.

 

Sasterawan dan cendekiawan Profesor Madya Hadijah Rahmat telah dilantik sebagai Profesor Madya Emeritus oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU) bagi “mengiktiraf kesarjanaan dan perkhidmatan” beliau.

Beliau mantan ketua Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia (ALC AG) di Institut Pendidikan Nasional/Universiti Teknologi Nanyang (NIE/NTU), dan penerima Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) pada 2022.

Pendidik mapan berusia 65 tahun itu menerima surat pelantikannya daripada Pengarah NIE, Profesor Christine Goh, dalam sebuah majlis di NTU pada Selasa.

Menurut NIE/NTU, beliau merupakan penerima ketiga untuk diberi pelantikan kepada Fakulti Emeritus oleh NIE – penerima pertama adalah Profesor Madya Christine Lee pada Mac 2023.

Surat pelantikan yang dikongsi oleh Profesor Madya Emeritus Hadijah kepada BH menyatakan pelantikan itu mengiktiraf kesarjanaan, perkhidmatan dan sumbangannya, antara lain sebagai ketua ALC AG dari 2018 hingga 2022.

“Pencapaian anda sebagai cendekiawan terkemuka dalam Pengajian Melayu-Indonesia dan pendidik serta pengkaji bahasa Melayu yang ulung juga diiktiraf,” antara isi surat tersebut.

Dalam satu catatan di Facebook pada Selasa, Profesor Madya Emeritus Hadijah menyatakan ia kali pertama beliau ke NIE sejak bersara pada 1 Mac 2023 setelah dimaklumkan tentang satu pertemuan bersama pengarah NIE.

“Sungguh (ia) suatu yang tidak dijangkakan... Semoga terus diberi kesihatan dan mendapat Petunjuk-Mu untuk terus berbakti pada universiti, masyarakat, negara dan kemanusiaan sejagat,” katanya.

Profesor Madya Emeritus Hadijah memberitahu BH beliau tidak tahu-menahu tentang pencalonan beliau bagi jawatan itu, apatah lagi pelantikan tersebut memandangkan tidak mudah mendapat gelaran itu kerana proses yang perlu dilalui selepas nama dicadangkan.

Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu kejutan dan bersyukur atas apa yang dicapainya.

“Apabila saya bersara, gelaran profesor madya (yang disandang sebelum ini) gugur. Dengan pelantikan ini, saya dapat kekalkan gelaran (profesor) sepanjang hayat,” jelasnya.

Namun, beliau menekankan anugerah dan gelaran bukanlah matlamatnya.

Sebaliknya, beliau berpegang pada prinsip “cuba sebaik-baiknya dalam tugasan” dan keikhlasan dalam hidupnya.

Dengan pelantikan ini, Profesor Madya Emeritus Hadijah berkata beliau ingin menjadi mentor dan bantu membimbing profesor lain, di samping meneruskan kegiatan bagi pelajar dan cendekiawan lain.

Beliau menambah bahawa ia juga membolehkannya memanfaatkan beberapa kemudahan yang tersedia di NTU, seperti perpustakaan, untuk menjalankan tugas.

“Dengan pelantikan ini, saya harap ia dapat beri motivasi kepada pelajar, profesor dan (anggota masyarakat awam) lain,” ujar beliau.

Profesor Madya Emeritus Hadijah telah mencorakkan kaedah pengajaran Bahasa Melayu kepada seluruh generasi pelajar Melayu, membantu menyemak kurikulum Bahasa Melayu pada 2005 untuk dijadikan sebagai visi ‘Arif Budiman’ – yang menekankan peri pentingnya nilai dan budaya dalam pembelajaran bahasa.

Beliau juga menjadi pengerusi Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) – pertubuhan yang dibentuk untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu/Indonesia di Asia Tenggara – dari 2012 hingga 2020.

Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction. 

Media coverage