Published on 05 Nov 2022

Kejayaan Hadijah Rahmat cermin kepentingan sokongan masyarakat

Berita Harian featured NIE Associate Professor Hadijah Rahmat, who received Berita Harian’s ‘Achiever of the Year’ award, aimed to do away with the excessive veneration of western superheroes, and instead get students familiar with Asian superheroes which are culturally significant. Prof Hadijah, NIE’s head of the Asian Languages and Cultures Academic Group, said she has been trying to change the way mother tongue languages are taught. She has introduced multiculturalism courses at NIE for mother tongue teachers. The courses, conducted in English, teach Chinese language teachers about Malay literature and Malay language, while Tamil language teachers learn about Malay folklore and Chinese culture.

PENERIMA Anugerah Jauhari tahun ini, Ketua Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE)/Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Hadijah Rahmat, 64 tahun, wajar diiktiraf atas sumbangannya yang mendalam terhadap bahasa, budaya dan sastera.

Malah, mereka yang hadir bagi majlis penyampaian Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2022 di Hotel Four Seasons kelmarin menyatakan bahawa kejayaan Profesor Hadijah bukan sahaja menjadi pemangkin semangat buat masyarakat, tetapi juga mencerminkan betapa pentingnya sokongan masyarakat dalam perjalanan seseorang individu ke arah kecemerlangan.

Mantan Menteri Negara Kanan, Encik Sidek Saniff, yang pernah mengajar Profesor Hadijah sastera di Sekolah Menengah Maju, melahirkan rasa bangga melihat anak didiknya menaiki pentas untuk menerima anugerah kecemerlangan tersebut.

"Pada kali ini, saya juga berasa bersyukur kerana anak murid saya, Profesor Hadijah diberi penghormatan yang begitu baik.

"Dada saya sebak apabila beliau datang berterima kasih kepada saya kerana membimbingnya. Beliau mempunyai masa yang panjang - daripada beliau menjadi guru hingga beliau ke universiti untuk pengajian PhD, saya hanyalah seperti setitis air sahaja.

"Saya menjadi seorang guru di sekolah menengah dan berasa untung kerana kebetulan dapat pelajar yang baik seperti Profesor Hadijah.

"Beliau tidak kasi saya memanggilnya Profesor. 'Cikgu cuma panggil saya cikgu atau Hadijah sahaja, itu dah cukup'. Begitulah rendah hatinya Profesor Hadijah ini," kongsi beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat (CC) Ayer Rajah, Encik Shahrin Abdol Salam, mengucapkan tahniah kepada Profesor Hadijah dan berkata beliau melambangkan kemajuan bahasa dan budaya Melayu serta masyarakat.

"Saya bukan sahaja kagum, malah begitu teruja kerana beliau dapat memberi suntikan inspirasi kepada pelbagai lapisan masyarakat. Saya berharap permata-permata seperti ini terus bersinar dalam kalangan masyarakat kita.

"Menabur bakti, menjadi inspirasi. Sebagai guru bagi guru-guru, pingat ini peringatan buat kita atas pengorbanan dan pentingnya penglibatan guru di dalam masyarakat, mendidik dan bahagia membahagiakan semua, bagaikan pelita dan permata," katanya.

Keperibadian Profesor Hadijah yang boleh menjadi inspirasi turut dipuji personaliti dan jurubina setempat, Encik Khairudin Saharom.

Encik Khairudin, yang membaca karya-karya kreatif Profesor Hadijah, berkata beliau begitu terpegun dengan cara Profesor Hadijah membawa diri dan bertutur dalam bahasa ibunda.

Dalam ucapan Profesor Hadijah kelmarin, beliau turut menyentuh tentang bagaimana BH telah mencetak karya-karyanya yang membolehkan beliau untuk mendekati masyarakat.

Encik Khairudin berkata:

"Saya rasa itu merupakan sesuatu yang terkesan buat diri saya kerana kita seorang sahaja mungkin tidak membawa kesan, tetapi apabila kita diberi pengiktirafan atau sokongan daripada masyarakat di sekeliling kita, itu menjadi pemangkin untuk kita, menjadi inspirasi buat diri kita, untuk terus berkarya dan menabur bakti kepada masyarakat."

Memberi ulasan, pengadil bagi Anugerah Jauhari, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Specialist Care Group (SCG) merangkap Pengarah Eksekutif IAPPS Health Group (IHG), Dr Abdul Razakjr Omar, berkata Anugerah Jauhari mengiktiraf anak Melayu/Islam yang cemerlang dalam bidang mereka lantas menjadi teladan unggul buat masyarakat.

Pemenang-pemenang kelmarin, termasuk bagi Anugerah Jauhari Harapan, Encik Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee, dan Anugerah Jauhari Pencapaian Sepanjang Hayat, Encik Mohamed Noor Mohamed Yusofe, atau lebih dikenali sebagai Yusnor Ef, sangat mahir dan terkenal dalam bidang mereka, bukan hanya di Singapura, tetapi juga luar negara.

"Sumbangannya sangat mendalam... dan ini mencerminkan masyarakat Melayu yang halus, berbudi pekerti dan akan maju ke arah masyarakat yang gemilang," ujarnya.


"Pada kali ini, saya juga berasa bersyukur kerana anak murid saya, Profesor Hadijah diberi penghormatan yang begitu baik.

Saya menjadi seorang guru di sekolah menengah dan berasa untung kerana kebetulan dapat pelajar yang baik seperti Profesor Hadijah."
- Mantan Menteri Negara Kanan, Encik Sidek Saniff.


"Saya bukan sahaja kagum, malah begitu teruja kerana beliau dapat memberi suntikan inspirasi kepada pelbagai lapisan masyarakat. Saya berharap permata-permata seperti ini terus bersinar dalam kalangan masyarakat kita."
- Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat (CC) Ayer Rajah, Encik Shahrin Abdol Salam.


"Saya rasa itu merupakan sesuatu yang terkesan buat diri saya kerana kita seorang sahaja mungkin tidak membawa kesan, tetapi apabila kita diberi pengiktirafan atau sokongan daripada masyarakat di sekeliling kita, itu menjadi pemangkin untuk kita, menjadi inspirasi buat diri kita, untuk terus berkarya dan menabur bakti kepada masyarakat."
- Personaliti dan jurubina setempat, Encik Khairudin Saharom.

Read the original article here

Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction