Sumbangan tokoh Melayu teladan bagi generasi muda
At the seminar "Tokoh-Tokoh Melayu 2024: Seni, Bahasa & Budaya," A/P Roksana Bibi Abdullah, from the Asian Languages and Cultures Division (ALC), NIE, spoke about the significance of Zainal Abidin Ahmad, also known as Za'ba, as a key figure in the development of Malay language and culture. She highlighted his intellectual contributions and how his writings continue to serve as a source of inspiration for cultural growth. Za'ba's dedication to language reform and education was emphasized as a model for contemporary society to follow. A/P Roksana also emphasized the importance of parents fostering the use of the Malay language from an early age. She encouraged parents to model informal Malay usage, supported by media like bilingual books and suitable children's programmes. Additionally, Dr. Roszalina Rawi, from ALC, who is the Vice Chairperson of the Malay Advisory Panel of the National Library Board, moderated a discussion session during the event, on "Uplifting Traditions and Memories: Exploring the Meaning of Customs and Nostalgia" which included an NIE graduate, Mr Elfi Ismail, who is now a professional Malay Dance choreographer.
Setiap generasi memerlukan ketokohan atau kepimpinan pemikir dan adalah penting bagi tokoh masyarakat yang lalu ini dijadikan teladan sedang tokoh baru dibentuk, menurut pengerusi Jawatankuasa Persuratan Majlis Bahasa Melayu Singapura, Dr Azhar Ibrahim.
Ini termasuk tokoh seperti sasterawan, bahasawan dan cendekiawan, pendita Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba; penggiat seni, penyanyi dan penggubah lagu mapan, Mohd Khair Mohd Yasin; aktivis teater, Aidli Mosbit; dan penggiat tarian, Allahyarham Rizman Kassim, yang sumbangan mereka dikupas sewaktu seminar ‘Tokoh-Tokoh Melayu 2024: Seni, Bahasa & Budaya’ anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada 12 Oktober.
Memuji usaha tersebut, Dr Azhar ketika ditemui Berita Minggu (BM) di seminar itu berkata:
“Tokoh yang menyumbang dalam masyarakat, tokoh yang telah memberi inspirasi kepada pembangunan kebudayaan masyarakat – itu bukan sahaja harus dikenang. Tetapi apa yang telah mereka lakarkan, mereka perjuangkan, yang telah mereka usahakan itu wajar diteladani, bukan sekadar penghargaan sahaja.
“Sebab masyarakat hari ini perlukan ikon kepimpinan pemikiran. Ketokohan itu dari masa ke masa dicipta oleh zaman. Jadi, setiap generasi perlukan kepimpinan pemikir dan kita boleh belajar daripadanya (tokoh lalu).
“Kita bukan mahu balik ke zaman silam tetapi ini adalah untuk mencipta tokoh baru.”
Seminar tersebut, yang diadakan buat julung kalinya oleh NLB, menghimpunkan pengkaji dan pengamal daripada pelbagai bidang untuk berbincang tentang isu berkaitan karya yang dihasilkan personaliti terkemuka dalam seni, budaya dan bahasa Melayu.
Antara isu utama yang dikupas di seminar tersebut adalah bagaimana untuk memastikan adat, budaya dan seni persembahan Melayu dapat terus dilestarikan dan disampaikan kepada anak muda zaman kini.
Anggota panel yang terdiri daripada aktivis seni, Hidayat Nordin, serta pengarah artistik dan penggiat tarian, Elfi Ismail, mencadangkan agar budaya Melayu disampaikan menerusi pengajaran seni seperti dikir barat dan tarian.
Menyentuh tentang teknik kontemporari dalam menyampaikan aspek kebudayaan, Elfi berkata walaupun adat mungkin berubah mengikut masa berdasarkan keperluan masyarakat, apa yang harus dipelihara dan disampaikan kepada generasi seterusnya adalah nilai murni yang tersemat dalam adat tertentu.
Selain mengupas tentang melestarikan seni dan budaya, pentingnya menguasai bahasa Melayu diberi perhatian besar sewaktu perbincangan panel melibatkan pensyarah di bawah Kumpulan Akademik (AG) Bahasa dan Kebudayaan Asia (ALC) Institut Pendidikan Nasional (NIE) Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Roksana Bibi Abdullah, dan penyanyi Akmal N.
Dr Roksana menekankan pentingnya peranan ibu bapa dalam memupuk penggunaan bahasa Melayu dari tahap awal, dengan mengaitkannya kepada peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Ibu bapa, katanya, harus menjadi suri teladan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam konteks tidak formal atau dikenali sebagai ‘bahasa basahan’.
Usaha itu boleh didampingi bahan sampingan seperti program televisyen atau media sosial yang menggunakan bahasa Melayu, contohnya siri kartun Omar & Hana, serta bahan bacaan dwibahasa.
Encik Hariz Emran merupakan antara peserta yang hadir bagi seminar ‘Tokoh-Tokoh Melayu 2024: Seni, Bahasa & Budaya’ anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada 12 Oktober. Antara yang hadir sewaktu seminar itu ialah Encik Hariz Emran, 24 tahun.
Mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) dan presiden Persatuan Pengajian Melayu NUS itu menyambut baik wadah seperti seminar ini, yang membolehkan belia sepertinya berhubung secara langsung dengan tokoh daripada pelbagai bidang dan menawarkan peluang pembelajaran yang baik.
Menyentuh tentang sesuatu yang bermanfaat baginya daripada seminar itu, beliau berkata:
“Sebelum ini mungkin kita lihat lagu Melayu sebagai sekadar hiburan untuk menggembirakan hati tapi sebenarnya dalam penulisan lirik, banyak tersirat maksud yang mungkin ada kehalusan dalam bagaimana kita menggunakan bahasa kita, bagaimana kita bertutur dengan orang lain, ataupun untuk menceritakan tentang isu semasa yang mungkin ada kesannya kepada lapisan masyarakat tertentu.
“Ini adalah sesuatu yang mungkin kita sebagai masyarakat Melayu tidak begitu memahami atau menghargai di dalam kalangan artis Melayu dalam karya mereka.”
Read the original article here.
Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction.