Published on 05 Nov 2022

Teruskan usaha saling membantu agar setiap individu boleh maju

Berita Harian featured NIE Associate Professor Hadijah Rahmat, who received Berita Harian’s ‘Achiever of the Year’ award, aimed to do away with the excessive veneration of western superheroes, and instead get students familiar with Asian superheroes which are culturally significant. Prof Hadijah, NIE’s head of the Asian Languages and Cultures Academic Group, said she has been trying to change the way mother tongue languages are taught. She has introduced multiculturalism courses at NIE for mother tongue teachers. The courses, conducted in English, teach Chinese language teachers about Malay literature and Malay language, while Tamil language teachers learn about Malay folklore and Chinese culture.

SAYA amat berbahagia dapat berada di sini, untuk bersama-sama memberikan pengiktirafan dan merayakan pencapaian terbaik individu dalam masyarakat Melayu/Islam.

Izinkan saya memulakan dengan mengucapkan tahniah sekali lagi kepada semua penerima anugerah serta keluarga dan rakan-rakan mereka yang telah mengupayakan kejayaan ini.

Jadi sekali lagi marilah kita berikan tepukan gemuruh kepada mereka.

Tahniah dan syabas.

Anugerah Jauhari pertama kali diadakan pada 1998. Sejak itu, ia telah memberikan pengiktirafan kepada individu terbaik dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam dalam pelbagai bidang atas pencapaian cemerlang mereka.

Antaranya termasuk Encik Shafie Shamsuddin, dalam bidang perniagaan; imam Syed Hassan Al-Attas, atas usahanya yang meluas dalam kerja-kerja silang agama; dan sudah tentu juga Presiden kita, Cik Halimah Yacob, yang telah bekerja demi memperbaiki keadaan para pekerja; dan ini sekadar menyebutkan beberapa nama saja.

Malam ini, kita memberikan pengiktirafan kepada tiga lagi individu cemerlang.

Kita telah mendengar tentang pencapaian mereka melalui watikah yang disampaikan awal tadi, tetapi izinkan saya pula mengungkap sedikit tentang pencapaian mereka.

ANUGERAH JAUHARI PENCAPAIAN SEPANJANG HAYAT: MOHAMED NOOR MOHAMED YUSOFE ATAU YUSNOR EF

Pertama adalah penggubah lagu dan penulis seni kata lagu, Mohamed Noor Mohamed Yusofe atau Yusnor Ef, yang diberi Anugerah Jauhari Sepanjang Hayat.

Saya telah mengenali Encik Yusnor Ef sejak lama juga semasa saya di MCCY (Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia).

Saya telah berinteraksi dengan beliau dan apabila kami memberikan anugerah bagi mengiktiraf beberapa orang pelopor budaya, beliau adalah salah seorang daripada mereka.

Saya masih ingat pada satu ketika beliau memberi ucapan, dan beliau mengatakan dengan penuh bersemangat tentang peri pentingnya budaya dan warisan.

Beliau berkata: "Jiwa negara kita adalah warisan kita. Tanpa masa lalu, kita tidak mempunyai masa sekarang. Tanpa masa sekarang, kita tidak akan mempunyai masa depan."

Beliau dikenali sebagai seorang datuk kepada lagu-lagu Melayu di Asia Tenggara, beliau telah menggubah ratusan lagu-lagu hit yang kita semua senangi dan gembira berterusan hingga ke hari ini.

Yusnor, yang menganggap seniman terkenal P. Ramlee sebagai mentor, sering menjadikanya untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan para artis dan pemuzik muda.

Dan tentunya, pencapaian Yusnor ini melebihi bidang muzik - sebagaimana yang anda semua tahu, beliau juga adalah seorang pendidik, bertanggungjawab menyediakan beberapa buah buku teks Bahasa Melayu, malah menerbitkan rancangan-rancangan televisyen mengenai pendidikan Bahasa Melayu dan pengetahuan Agama.


ANUGERAH JAUHARI 2022: PROFESOR MADYA HADIJAH RAHMAT

Berikutnya ialah Profesor Madya Hadijah Rahmat, yang menerima Anugerah Jauhari Tahun 2022, yang diiktiraf secara meluas bagi sumbangannya dalam bidang penulisan kesusasteraan Melayu.

Melalui puisi-puisinya, cerpen, drama dan juga buku-buku kanak-kanak, beliau telah merangsang ramai orang cintakan bahasa Melayu.

Beliau juga telah mencorakkan kaedah pengajaran bahasa Melayu kepada seluruh generasi pelajar Melayu, membantu mengulang kaji kurikulum bahasa Melayu pada 2005 untuk djadikan sebagai visi 'Ariff Budiman' - yang menekankan peri pentingnya nilai dan budaya dalam pembelajaran bahasa.

Hari ini, beliau terus memberikan sumbangan terhadap pembelajaran Bahasa dan budaya Melayu di Institut Pendidikan Nasional (NIE), dan meluangkan masa untuk melatih dan menjadi mentor kepada bakal guru-guru muda Melayu.

Sebentar tadi, beliau berjanji kepada saya untuk memberi beberapa karya penulisannya dalam dwibahasa Melayu dan Inggeris yang boleh membantu saya terus memperbaiki bahasa Melayu.

 

ANUGERAH JAUHARI HARAPAN: LEE SYAFIQ MUHD RIDZUAN LEE

Akhir sekali, Lee Syafiq, yang menerima Anugerah Jauhari Harapan.

Beliau memulakan pembelajarannya dalam bidang seni kulinari di ITE (Institut Pendidikan Teknikal) dan mempelajari seni itu di beberapa buah restoran sebelum memulakan sendiri usahanya.

Hari ini, Syafiq adalah seorang pegerai yang berjaya dan bangga, dengan masakan burger halal dan murahnya yang terdapat di merata Singapura telah memberi cabaran kepada makanan-makanan yang terdapat di gerai-gerai tempatan.

Malah beliau kini membawanya ke luar negara dengan mengenalkan warisan penjaja kita di dunia dan menubuhkan sebuah gerai di Times Square di New York.

Setelah mencapai kejayaan, Syafiq juga kini menjadi mentor kepada bakat-kata baru penjaja di bawah Rancangan Pembangunan Penjaja NEA (Agensi Sekitaran Kebangsaan).

Kepada ketiga-tiga penerima anugerah kita yang cukup layak malam ini, mari kita berikan tepukan gemuruh kepada mereka.

Saya mesti mengatakan bahawa Menteri Negara Kanan Zaqy Mohamad dan saya sendiri amat gembira kerana dua daripada penerima anugerah, Hadijah dan Syafiq, juga adalah penduduk di kawasanvundi GRC (Marsiling-Yew Tee) kami.

Sudah tentu ini hanya secara kebetulan.

Melalui pencapaian mereka, Yusnor, Hadijah dan Syafiq masing-masing telah memberikan impak yang positif kepada masyarakat Melayu/Islam dan Singapura.


SALING MENYOKONG, SAMA-SAMA CAPAI KECEMERLANGAN

Apa yang lebih menarik dan wajar diberikan perhatian adalah mereka bukan saja cemerlang dengan cara dan bidang mereka sendiri, malah ia juga telah memberi manfaat kepada para guru dan mentor dalam mengharungi jalan mencapai kejayaan seperti yang anda saksikan dalam tayangan video sebentar tadi dan sekarang mereka bergerak ke arah membantu mengajar pemuzik, guru dan penjaja generasi akan datang.

Contoh daripada mereka ini membuktikan satu kenyataan jelas bahawa tiada sesiapa pun di antara kita yang boleh mencapai kejayaan secara bersendiri - kita semua memerlukan orang lain untuk merangsang kita, mengajar kita, atau memberi sokongan kepada kita pada waktu-waktu yang diperlukan; kita akan dapat mencapai kejayaan cemerlang jika kita bekerja bersama-sama dan membantu satu sama lain.

Ini mengingatkan kita semangat gotong -royong dalam masyarakat Melayu.

Dan kerana itulah, pencapaian para penerima anugerah pada malam ini bukan milik mereka saja, malah sebenarnya pencapaian seluruh masyarakat Melayu/Islam.

Idea saling membantu ini, dengan membantu satu sama lain untuk maju dan berjaya, bukan sesuatu yang baru. Kita telah menyematkannya dalam hati sanubari kita sebagi suatu pendekatan bagi membantu setiap rakyat Singapura dalam mengejar kecemerlangan dan kejayaan.

Itulah sebabnya kita mempunyai banyak pertubuhan Melayu/Islam bekerja rapat dengan pemerintah bagi membantu dan meningkatkan taraf masyarakat di semua peringkat.

Pertubuhan seperti Mendaki, yang berfungsi memberikan kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah, satu permulaan hidup yang baik melalui pendidikan.

Atau AMP, yang membantu memajukan masyarakat Islam profesional di Singapura.

Dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), yang membantu memajukan para pengusaha Melayu/Islam.

Itu adalah beberapa contoh. Banyak lagi yang lain. Tetapi saya tidak mahu ketinggalan dalam mengiktiraf sebuah institusi penting pada malam ini, iaitu Berita Harian, yang merayakan ulang tahun ke 65 tahun ini.

Sepanjang puluhan tahun itu, Berita Harian telah menjadikannya sebagai sebuah institusi yang amat dihormati di Singapura.

Ini bukan saja dalam memajukan dan mengekalkan bahasa dan budaya Melayu, bahkan juga dalam perjuangan kesejahteraan masyarakatnya.

Kita telah menyaksikannya semasa menentang Covid-19 dalam masa lebih dua tahun lalu apabila kita terpaksa menghentikan perhimpunan berjemaah di masjid-masjid dan tempat-tempat beribadah lain pada 2020.

Berita Harian berganding dengan para asatizah tempatan dalam menyediakan isi kandungan sosioagama di platform media sosial.

Malah baru-baru ini saja, Berita Harian telah bersama-sama Mendaki melancarkan sebuah portal menawarkan maklumat pendidikan percuma bagi memastikan para pelajar sekolah rendah mendapatkan sumber-sumber pendidikan yang berkualiti.

Jadi semua usaha ini membuktikan komitmen Berita Harian dalam membantu dan memajukan kepentingan masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Maka, kepada Berita Harian dan seluruh anggota akhbar ini, kami mengucapkan tahniah berupaya sampai ke tahap ini.


MASYARAKAT MELAYU/ISLAM KIAN MAJU

Menerusi usaha secara kolektif bersama semua pertubuhan dan pemerintah, kita telah menyaksikan masyarakat Melayu/Islam terus maju selama bertahun-tahun.


Contohnya:

Lebih ramai penuntut Melayu berjaya di sekolah-sekolah dan Institut Pengajian Tinggi.

Sepanjang 10 tahun lalu, kita telah menyaksikan bertambah ramainya pelajar Melayu yang berada dalam kalangan 10 peratus pencapaian terbaik dalam peperiksaan nasional.

Kita juga telah menyaksikan tambahan yang ketara dari segi bilangan siswazah Melayu di universiti berautonomi setempat.

Semua ini adalah pencapaian penting kerana pendidikan yang baik membawa kepada pekerjaan dan peluang-peluang yang baik.

Dan inilah juga sebabnya kita dapat melihat pendapatan keluarga Melayu meningkat berterusan buat beberapa tahun.

Tetapi kesimpulannya, kejayaan dan kemajuan masyarakat dan penerima anugerah kita malam ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa kesungguhan dan kegigihan dan lebih penting lagi adalah keinginan untuk mencapai kecemerlangan daripada setiap individu.

Maka saya berharap, anugerah ini akan terus merangsang lebih ramai anggota masyarakat Melayu/Islam untuk meraih kejayaan dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

Lebih penting juga, saya berharap ia dapat menggalakkan kita semua untuk menyumbangkan semula kepada masyarakat dan membantu generasi akan datang seperti yang dilakukan oleh Yusnor, Hadijah dan Syafiq.

Kerana setiap kita memiliki keupayaan untuk membantu dan membimbing yang lain.

Kita semua mempunyai pengalaman hidup yang amat bernilai untuk dikongsi bersama, atau kemahiran yang boleh disalurkan, dan keistimewaan berupaya untuk membuka jalan bagi mewujudkan lebih banyak peluang bagi orang lain.

Marilah kita melaksanakan sesuatu untuk membantu satu sama lain agar setiap individu dapat maju dan berjaya.

Jika kita terus melakukannya, saya yakin bahawa masyarakat Melayu/Islam akan terus makmur dan cemerlang pada tahun-tahun mendatang.

Bersama-sama, kita akan dapat mengekalkan Singapura sebagai sebuah tempat di mana semua orang yang bekerja keras boleh mencapai sesuatu yang benar-benar luar biasa.

Kita boleh menjadikan Singapura sebuah tempat yang penuh peluang untuk semua orang memanfaatkan keupayaannya dan menjadi yang terbaik dalam apa jua perkara yang ingin mereka lakukan.

Tahniah sekali lagi kepada para penerima anugerah dan kepada Berita Harian yang menyambut ulang tahun ke-65. Dan saya berterima kasih kepada semua yang hadir dan mengucapkan agar anda semua gembira pada malam ini. Terima kasih.


BERSAMA MEMASTIKAN KEMAJUAN

"Pertubuhan seperti Mendaki, yang berfungsi memberikan kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah, satu permulaan hidup yang baik melalui pendidikan.

Atau AMP, yang membantu memajukan masyarakat Islam profesional di Singapura.

Dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), yang membantu memajukan para pengusaha

Melayu/Islam.

Itu adalah beberapa contoh. Banyak lagi yang lain. Tetapi saya tidak mahu ketinggalan dalam mengiktiraf sebuah institusi penting pada malam ini, iaitu Berita Harian,

yang merayakan ulang tahun ke 65 tahun ini.

Sepanjang puluhan tahun itu, Berita Harian telah menjadikannya sebagai sebuah institusi yang amat dihormati di Singapura."
- Encik Lawrence Wong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Read the original article here

Source: Berita Harian © SPH Media Limited. Permission required for reproduction